APRIL 2022

GPS Usaha Tawan Semua Kerusi Parlimen: Premier


SIBU, Ahad: Semua kerusi Parlimen yang disandang  oleh pembangkang di Sarawak hendaklah ditawan semula oleh GPS pada PRU15, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari Tun Openg di sini pada Ahad.

Sarawak harus mempunyai suara yang lebih kuat di Parlimen daripada apa yang ada sekarang supaya suara Sarawak terus “didengar” di peringkat nasional, ujar beliau. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sebuah hotel di sini.

Merujuk kepada kerusi Parlimen PRS yang berada di tangan pembangkang iaitu Selangau, Sri Aman, Lubok Antu dan Julau, beliau berkata semua kerusi tersebut hendaklah dimenangi kembali oleh PRS dengan bantuan parti-parti komponen GPS yang lain.

“Kita bukan mahu menjadi “king maker”, bukan itu tujuan kita. Kita mahu suara Sarawak didengar,” jelas beliau.

Pada PRU14 PRS kehilangan tiga kerusi tersebut dan kerusi yang keempat, iaitu Sri Aman menjadi milik pembangkang apabila penyandangnya menyertai PSB. 

Datuk Patinggi Abang Zohari memuji semangat konsensus para pemimpin tertinggi PRS yang telah bersetuju bahawa tiada pertandingan bagi jawatan presiden di mana telah berlaku kekosongan apabila presidennya, Tan Sri Datuk Dr. James Jemut Masing meninggal dunia pada tahun lepas. 

Pemangku Presiden, Datuk Joseph Salang Gandum telah diangkat untuk menjawat jawatan presiden setelah naib presiden, Datuk John Sikie Tayai menarik diri daripada pertandingan untuk merebut jawatan presiden.

Terdahulu dalam ucapannya, Premier Sarawak memberi penghormatan kepada mendiang Tan Sri James yang disifatkan oleh beliau sebagai pemimpin yang telah menyumbangkan tenaga, jiwa dan raganya untuk kepentingan rakyat, khususnya masyarakat di luar bandar. 

Beliau adalah seorang pemimpin yang sentiasa ingin bekerjasama dengan parti-parti lain untuk memajukan masyarakat dan Sarawak, tambah beliau. 

Datuk Joseph Salang berucap terdahulu.

Turut hadir, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Setiausaha Agung GPS, Pengerusi People’s Democratic Party (PDP), Dato Sri Tiong King Sing dan wakil-wakil parti-parti komponen GPS.

Sumber dari : Sarawakku